Sarawak Tuan Rumah SIWA2026, Berlangsung 8 Hingga 10 September Depan
NEW DELHI: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah South Asian International Women’s Assembly 2026 (SIWA2026) yang akan berlangsung di Kuching dari 8 hingga 10 September 2026.
Perhimpunan berprestij itu bakal mengukuhkan peranan negeri itu sebagai platform dialog serantau dan antarabangsa berkaitan kepimpinan serta pemerkasaan wanita.
Selain itu, ia bakal menghimpunkan pemimpin wanita, pembuat dasar dan wakil masyarakat sivil dari Asia Selatan serta pelbagai negara lain bagi membincangkan isu kepimpinan, ketahanan dan kerjasama merentas sempadan.
Antara pengisian utama SIWA2026 ialah forum bertajuk “Hard Truths and Shared Triumphs from the Diaspora’s Trailblazers” yang akan menampilkan perbincangan terbuka mengenai identiti, cabaran dan kejayaan wanita Asia Selatan yang berjaya di peringkat global.
Perhimpunan tersebut dijangka melibatkan penyertaan meluas merangkumi kira-kira 110 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di Sarawak, selain NGO India dan Asia Selatan serta rakan komuniti melalui jaringan kerjasama Sarawak Indian Women Association (SIWA).
Sebagai persediaan awal penganjuran, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah mengetuai delegasi rasmi ke New Delhi bersama SIWA pada Selasa.
Delegasi tersebut turut disertai Presiden SIWA, Lucy Linggam dan mengadakan perbincangan dengan Professor Dr Veena Sikri, Pengasas dan Pemegang Amanah South Asian Women’s Network (SWAN).
Mengangkat tema “From the Himalayas to the Hornbills: The Global Ascent of South Asian Women Leaders”, SIWA2026 mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memperkasa kepimpinan wanita, mempromosikan keterangkuman sosial serta memperkukuh kerjasama serantau.
Perhimpunan ini turut disasarkan sebagai platform berprofil tinggi yang menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pemimpin masyarakat sivil, profesional dan tokoh diaspora dari Asia serta rantau lain.
Dalam sesi libat urus di New Delhi, Profesor Dr Veena Sikri turut menjemput Dato Sri Fatimah selaku Penaung SIWA untuk menyertai sesi dialog dan konsultasi pada 6 Januari bagi memperhalusi kerangka kerjasama awal menjelang penganjuran SIWA2026.
Perbincangan tersebut sekali gus menegaskan peranan Sarawak sebagai rakan dialog serantau yang progresif, di samping meletakkan Kuching sebagai hab baharu wacana antarabangsa berkaitan kepimpinan wanita, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan.-EDISI UKAS