Sarawak Terima Jemputan Rasmi Sertai SUKMA 2026, Sedia Pertahan Kejuaraan Di Selangor
KUCHING: Sarawak secara rasmi menerima jemputan untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 susulan kunjungan delegasi penganjur dari Selangor ke negeri ini, sekali gus menandakan bermulanya persiapan awal kontinjen Sarawak bagi mempertahankan kejuaraan yang diraih sebelum ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cabaran mempertahankan kejuaraan di luar gelanggang sendiri sememangnya menuntut persiapan yang lebih rapi, namun ia bukan penghalang kepada kontinjen Sarawak untuk terus mencabar kejuaraan.
“Kami sedar penganjuran SUKMA kali ini berlangsung di Selangor, sebuah negeri yang mempunyai rekod cemerlang dalam sejarah SUKMA walaupun temasya berkenaan diadakan di negeri lain.
“Selain Selangor selaku tuan rumah, Sarawak juga dijangka antara negeri yang akan menghantar kontinjen terbesar, dan kami akan memastikan segala persiapan dibuat secara menyeluruh bagi mempertahankan kejuaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan rasmi delegasi Selangor yang turut diserikan dengan penyerahan simbolik obor SUKMA, pada Rabu.
Sementara itu, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan bahawa majlis perasmian SUKMA 2026 akan dilaksanakan dengan pendekatan berbeza berbanding edisi terdahulu, sejajar dengan keadaan semasa prasarana sukan negeri berkenaan serta hasrat penganjur untuk menampilkan kelainan dalam penganjuran temasya dwitahunan itu.
“Majlis perasmian SUKMA 2026 akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dan bukannya di stadium. Ini berikutan Selangor buat masa ini belum mempunyai stadium negeri susulan pembinaan semula Stadium Shah Alam.
“Justeru, ini merupakan kali pertama SUKMA dirasmikan di luar stadium dan dijangka memberi kelainan serta pengalaman baharu kepada atlet dan penonton,” jelasnya.
Menurut beliau, persiapan Selangor sebagai tuan rumah kini berada pada tahap memberangsangkan dengan lebih 80 peratus kemudahan sukan telah dinaik taraf, manakala baki fasiliti dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.
SUKMA 2026 merupakan edisi ke-22 yang bakal mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan 474 acara, dengan penganjuran berlangsung di sembilan daerah utama di Selangor, sekali gus dijangka memeriahkan lagi temasya sukan dwitahunan berprestij itu di peringkat kebangsaan.–EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira
Foto: Alezxandria Kapple