Sarawak Cadang Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63 Distruktur Semula
KUCHING: Kerajaan Sarawak mencadangkan penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) sebagai langkah menangani cabaran berpanjangan sektor kesihatan serta mengelakkan kelewatan pentadbiran yang berulang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, cadangan tersebut bertujuan meningkatkan keberkesanan perbincangan teknikal dengan melibatkan terus wakil kanan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaku pihak pembuat keputusan utama.
Menurut beliau, struktur sedia ada menyebabkan isu berkaitan kesihatan sering tertangguh apabila tanggungjawab dipindahkan antara agensi tanpa penyelesaian tuntas.
“Apabila isu kesihatan dibincangkan, ia sering berakhir dengan rujukan kepada JPA, EPU atau Kementerian Kewangan. Mesyuarat berulang kali diadakan, namun keputusan sukar dicapai kerana pihak berkepentingan utama tidak berada di meja yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penyerahan peralatan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Batu Kawa, pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Sarawak mencadangkan jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof sebagai platform peringkat tinggi di bawah MTPMA63, khususnya bagi menangani isu autonomi kesihatan dan pelaksanaan dasar.
Tambah beliau, penstrukturan semula ini penting bagi membolehkan Sarawak merangka pelan hala tuju jelas dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi menangani kekurangan kritikal tenaga kerja kesihatan, termasuk di Hospital Umum Sarawak.
“Kekurangan doktor dan jururawat tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat. Kita tidak boleh tiba-tiba mendapatkan ribuan petugas kesihatan.
“Apa yang diperlukan ialah perancangan berfasa, latihan tersusun dan kesinambungan dasar tanpa mengira siapa yang menerajui kepimpinan,” jelasnya.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab Doris
Jurugambar: Douglas Demong