PDRM Perkukuh Keselamatan Masyarakat dengan Balai Polis Baharu di Beladin
BELADIN: Pembinaan Balai Polis Beladin bukti komitmen jitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di peringkat akar umbi serta memastikan kawalan keselamatan yang berkesan kepada masyarakat setempat.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, CP Gilberd Philip Layang berkata balai polis baharu ini menjadi simbol kepercayaan dan amanah pucuk pimpinan PDRM dalam memperkukuh kesiapsiagaan pasukan serta memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.
Menurut beliau, bangunan balai polis yang lebih moden dan kondusif ini merupakan manifestasi jelas kesungguhan kerajaan serta komitmen berterusan pucuk pimpinan PDRM dalam menjaga kebajikan warga pasukan agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien.
“Pembinaan prasarana yang lebih selesa ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan perkhidmatan dan tahap keselamatan, malah mencerminkan usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya dalam Majlis Perasmian Balai Polis Beladin yang berlangsung di sini pada Khamis.
Beliau berharap balai ini akan terus berperanan sebagai benteng keselamatan yang kukuh, membolehkan rakyat di kawasan Beladin menikmati suasana hidup yang aman, tenteram dan sejahtera.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata penubuhan Balai Polis Beladin membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya mempercepatkan masa tindak balas polis terhadap kecemasan, jenayah dan kemalangan.
Menurut beliau, kehadiran balai polis yang lebih hampir mampu menutup kawasan ‘blind spots’ dan meningkatkan tahap keselamatan penduduk di Beladin serta kawasan sekitarnya.
“Ia juga berfungsi sebagai pusat komuniti yang menganjurkan program kemasyarakatan dan usaha pencegahan jenayah, sekali gus memperkukuh hubungan antara polis dan masyarakat.
“Dengan adanya balai baharu ini, hubungan antara polis dan masyarakat dapat diperkukuh, meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap PDRM selari dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Tiada Berpisah’,” ujarnya.-EDISI UKAS