KUCHING: Usaha memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan mampan Sarawak menjadi fokus utama kerjasama antara Yayasan Sime Darby (YSD) dan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR).
Perbincangan tersebut telah diadakan semasa kunjungan hormat oleh YSD yang diketuai pengerusinya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, di sini pada Rabu.
Antara perkara dibincangkan ialah penyelarasan inisiatif filantropi YSD, yang disokong oleh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad, bagi memastikan pelaksanaan projek alam sekitar dan komuniti memberi impak jangka panjang kepada Sarawak.
Sejak 2011, YSD telah melaksanakan 25 projek di Sarawak, termasuk 20 yang masih berjalan, dengan jumlah pelaburan melebihi RM65 juta merangkumi lima teras utama iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti dan kesihatan, sukan serta seni dan budaya.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kerjasama berterusan YSD dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam pemuliharaan Lotong Merah Sarawak di Taman Negara Maludam, termasuk pembangunan Pelan Tindakan Pemuliharaan Spesies (SCAP) bagi melindungi spesies kritikal yang kini dianggarkan kurang daripada 300 ekor di habitat semula jadinya.
Selain itu, usaha pemulihan alam sekitar melalui projek penanaman 60,000 pokok endemik dan terancam di Estet Damai, Bintulu, serta inisiatif pemuliharaan marin dan pengurusan perikanan mampan di perairan Sarawak turut dibincangkan sebagai antara sumbangan penting YSD kepada negeri ini.
Melalui perbincangan strategik semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama antara sektor kerajaan dan filantropi demi memastikan pemuliharaan alam sekitar Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan berdaya tahan untuk jangka panjang.-EDISI UKAS