Pemantauan Rapi Banjir Daro, Keselamatan Penduduk Diutamakan
DARO: Pemantauan berterusan dan tahap kesiapsiagaan tinggi menjadi keutamaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Daro bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin susulan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah proaktif perlu dilaksanakan terutama sekiranya berlaku peningkatan paras air sungai secara mendadak yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
“Pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin, khususnya sekiranya berlaku peningkatan paras air sungai secara mendadak,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Bilik Operasi JPBD Daro bagi meninjau secara dekat perkembangan semasa banjir, pada Rabu.
Dalam lawatan tersebut, Dr Safiee telah diberikan taklimat terperinci oleh pihak pengurusan bencana daerah berkaitan paras air sungai, kawasan terjejas, jumlah penduduk terlibat serta tahap kesiapsiagaan agensi-agensi berkaitan.
Menurut beliau, beberapa langkah telah dicadangkan bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk penambahbaikan sistem saliran, penyelarasan gerak kerja antara agensi terlibat serta pengukuhan pelan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan bertambah buruk.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, tersusun dan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, Dr Safiee merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat termasuk pasukan keselamatan serta sukarelawan atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjaga kebajikan serta keselamatan rakyat sepanjang tempoh bencana.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi mengelakkan kejadian tidak diingini.-EDISI UKAS