Projek Naik Taraf Jalan Munyuong–Potik Siap, Manfaatkan Penduduk Tabong Singai
BAU: Penduduk Kampung Tabong Singai kini menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa dan selamat apabila projek menaik taraf Jalan Munyuong–Potik siap sepenuhnya dan diserahkan untuk kegunaan orang ramai.
Penyerahan projek Jalan Pertanian dan Jalan Kampung itu telah dilakukan oleh kontraktor dilantik kepada Ketua Kaum Kampung Tabong, Michael William, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung pada Jumaat, sekali gus menandakan projek berkenaan boleh digunakan sepenuhnya oleh penduduk setempat.
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, sebagai simbolik komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mempertingkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
Turut hadir ialah Penolong Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau, Wan Yusri, selaku agensi pelaksana projek serta Pegawai Tadbir Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Melissa Fiona Nelson.
Projek di bawah GKCDA bagi kawasan DUN Tasik Biru itu melibatkan kos keseluruhan RM397,000 dan telah dilaksanakan pada tahun 2025 bermula 18 Ogos 2025. Projek berkenaan siap lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada 17 Mei 2026.
Skop kerja merangkumi pembinaan dan penurapan semula jalan sepanjang 1.25 kilometer dengan kelebaran 4.5 meter, termasuk pembinaan struktur pembetung bersaiz 900 milimeter bagi memperbaiki sistem saliran serta meningkatkan ketahanan jalan.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Tabong Singai dengan memudahkan pergerakan harian, mempertingkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta menyokong aktiviti ekonomi dan pertanian setempat.
Projek naik taraf tersebut sekali gus mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar dilaksanakan secara berperingkat demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. — EDISI UKAS