Jambatan Sungai Undop Siap, Mudahkan Akses & Sokong Pembangunan Luar Bandar Sri Aman
SRI AMAN: Penduduk di sini sekali lagi dikhabarkan dengan berita gembira apabila Jambatan Sungai Undop kini telah siap sepenuhnya sekaligus memudahkan akses dan dalam masa yang sama menyokong pembangunan luar bandar.
Susulan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis telah mengadakan lawatan ke projek berkenaan untuk melihat sendiri kualiti projek tersebut.
Katanya, tujuan utama lawatan tersebut ialah menilai kualiti pelaksanaan projek serta memastikan jambatan yang dibina dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.
“Jambatan ini dijangka memberi impak positif dalam memudahkan pergerakan harian penduduk, meningkatkan keselamatan, serta memperkukuh akses logistik dan aktiviti sosioekonomi di kawasan berkenaan,” ujar beliau.
Projek pembangunan infrastruktur ini, di bawah seliaan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah siap sepenuhnya pada 29 November 2025 dan merupakan salah satu inisiatif strategik kerajaan negeri untuk menaik taraf kemudahan asas serta memperkukuh jaringan perhubungan penduduk luar bandar di Bahagian Sri Aman.
Semasa lawatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggan itu turut menerima taklimat ringkas mengenai spesifikasi teknikal jambatan dan skop kerja yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan.
Turut mengiringi lawatan adalah Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling Anson. -EDISI UKAS