Tanglung Terangi Taman Komuniti Serian, Simbol Perpaduan Sambut Tahun Baharu Cina
SERIAN: Taman Komuniti Serian tampil ceria dengan pancaran cahaya berwarna-warni sempena Majlis Perasmian Pemasangan Tanglung yang julung kali diadakan di kawasan berkenaan.
Program berkenaan merupakan inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Bandar Serian yang diketuai oleh Kapitan Wisdom Hoan, dengan matlamat menceriakan persekitaran komuniti di samping menyemarakkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba di Bandar Serian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan kepada JKKK Kawasan Bandar Serian atas komitmen dan kerjasama padu semua pihak dalam merealisasikan pemasangan tanglung tersebut.
“Penganjuran program seumpama ini mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama yang menjadi tunjang kekuatan komuniti di Bandar Serian,” katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif sedemikian bukan sahaja berupaya mencantikkan landskap bandar, malah berperanan menggalakkan sikap saling membantu serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat melalui penglibatan bersama dalam menjayakan sambutan perayaan.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat dan Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian. -EDISI UKAS