Pembangunan Infrastruktur Pacu Transformasi Kampung Braang Bayur, Fokus Pelancongan dan Ekonomi Luar Bandar
PADAWAN: Pembangunan infrastruktur yang berterusan terus memacu transformasi Kampung Braang Bayur yang kini memberi fokus kepada pelancongan dan ekonomi luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, berkata Kampung Braang Bayur telah melalui perubahan ketara sejak lebih sedekad lalu, bukan sahaja dari aspek prasarana fizikal, malah turut mencerminkan kekuatan perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat.
Buktinya, awal tahun 2026 menyaksikan beberapa kemudahan utama seperti Bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Dewan Komuniti serta Logo Kampung Braang Bayur yang disifatkan sebagai elemen penting dalam membentuk identiti kampung dirasmikan.
“Semua ini amat signifikan menjelang pengisytiharan kawasan Mambong sebagai sebahagian daripada Sarawak Delta Geopark (SDGP) UNESCO yang dijangka pada pertengahan tahun ini.
“Susulan itu selain pembangunan infrastruktur, saya menggesa semua kampung agar menitikberatkan aspek kebersihan, melaksanakan aktiviti gotong-royong secara berterusan serta menyediakan logo dan pintu gerbang kampung sebagai persediaan menerima kunjungan pelancong,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Infrastruktur Awam Kampung Braang Bayur, di sini, pada Jumaat.
Dalam aspek pembangunan ekonomi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu turut mengumumkan perancangan projek ladang kopi berkelompok di Kampung Bayur melibatkan keluasan kira-kira 20 ekar dengan anggaran kos RM21 juta yang dijadualkan bermula pada tahun 2026.
“Projek ini merangkumi penubuhan pusat pengumpulan kopi, tapak semaian, kafe kopi dan pusat penyelidikan dengan sokongan pelabur antarabangsa dari Belgium, sekali gus berpotensi menjadikan kopi tempatan sebagai produk berjenama di peringkat global,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perancangan pembangunan Pusat Komuniti Braang bernilai RM500,000, pembinaan pasar komuniti, penambahbaikan jaringan jalan kampung serta cadangan jangka panjang pembinaan kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Sebagai sokongan kepada pengurusan kampung, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Braang Bayur serta menyampaikan Insentif Kecemerlang Akademik kepada enam penerima kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada Kampung Braang Bayur.
Hadir sama, Pegawai Perpaduan Bahagian Kuching Rose Jonathan Garau, Penolong Pegawai Tadbir mewakili Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathiues Akin, Penghulu Kawasan Braang Bengoh Tora Jonseng dan Pengerusi KRT Kampung Braang Bayur Matthew Bateng. -EDISI UKAS