Program ‘Back To School’ Batang Sadong Bantu 145 Pelajar Buat Persediaan Awal Persekolahan 2026
SADONG JAYA: Seramai 145 orang pelajar dari kawasan Daerah Kecil Sadong Jaya menerima manfaat menerusi Program ‘Back To School’ (BTS) Parlimen P.200 Batang Sadong Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Sadong Jaya, pada Rabu.
Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan membuat persediaan awal sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 11 Januari 2026.
Majlis perasmian dan penyampaian bantuan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee diiringi bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Menurut Rodiyah, Program ‘Back To School’ merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan secara konsisten bagi menyokong kebajikan serta pendidikan anak-anak di Parlimen Batang Sadong.
“Pada tahun ini, seramai 145 orang penerima dikenal pasti terdiri daripada 100 murid sekolah rendah dan 45 pelajar sekolah menengah, melibatkan pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 daripada 13 buah sekolah di bawah pentadbiran PPD Samarahan,” katanya.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan merangkumi beg sekolah, peralatan alat tulis, kalkulator saintifik bagi pelajar sekolah menengah serta pelbagai kelengkapan asas persekolahan lain. Selain itu, penganjur turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma hasil kerjasama Kelab Belia Sejati Sadong sebagai persediaan tambahan kepada para pelajar.
Tambah beliau, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, malah diharap dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersemangat
Dalam pada itu, Rodiyah memberitahu, sepanjang tahun 2025, sejumlah RM607,350 telah dibelanjakan bagi sektor pendidikan di Parlimen Batang Sadong meliputi pelbagai inisiatif termasuk insentif melanjutkan pengajian, dana aktiviti sekolah dan PIBG, Program ‘Back To School’, pemberian komputer riba kepada pelajar Tingkatan Enam Rendah serta insentif pelajar cemerlang peperiksaan SPM dan STPM.
Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak, bagi memastikan tiada anak di Parlimen Batang Sadong tercicir daripada arus pendidikan. -EDISI UKAS