Beberapa Kawasan Berisiko Banjir di Limbang Terkawal
LIMBANG: Beberapa kawasan berisiko banjir di sekitar Limbang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal setakat ini susulan pemantauan berterusan yang dijalankan oleh pihak keselamatan.
Paras air dilaporkan naik di kawasan rendah dan berhampiran tebing sungai, namun keadaan masih terkawal tanpa sebarang pemindahan penduduk direkodkan setakat ini.
Antara kampung yang terjejas melibatkan Kampung Binjai, Kampung Telahak dan Kampung Lubok Piasau dengan paras air dilaporkan meningkat susulan hujan lebat sejak kebelakangan ini, namun masih belum mencapai tahap membimbangkan.
Sementara itu, hasil daripada pemantauan pihak PDRM di kawasan Kampung Tanjong, Kampung Pangkalan Madang, Kampung Batu Danau dan Kampung Tanjung Riman mendapati paras air naik setinggi satu setengah kaki namun keadaan dilaporkan masih di tahap selamat.
Beberapa laluan kampung sedikit terjejas akibat limpahan air sungai, namun masih boleh dilalui dan tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap perubahan paras air, terutama ketika hujan lebat berterusan, serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan bertukar buruk.
Penduduk juga digalakkan untuk membuat persediaan awal dan melaporkan sebarang perkembangan luar jangka kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Limbang bagi memastikan keselamatan semua pihak terus terjamin. -EDISI UKAS