KUCHING: Jambatan Batang Rambungan, komponen utama laluan pertama Projek Jalan Pesisir Sarawak, mencatatkan kemajuan pelaksanaan sebanyak 64.95 peratus dan disasar siap sepenuhnya serta boleh digunakan oleh orang awam menjelang hujung tahun 2026, lebih awal daripada jadual asal pada Mei 2027.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, prestasi semasa projek tersebut menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan meskipun pernah berdepan sedikit kelewatan sebelum ini.
Menurut beliau, kemajuan fizikal projek pembinaan jambatan bernilai RM82 juta itu berada dalam landasan pelaksanaan yang ditetapkan hasil pemantauan rapi serta komitmen berterusan semua pihak terlibat.
“Memang terdapat sedikit kelewatan sebelum ini, namun kemajuan semasa masih dalam jadual. Berdasarkan perkembangan terkini dan komitmen kontraktor, kita yakin jambatan ini dapat disiapkan dan digunakan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Batang Rambungan, di sini, pada Khamis.
Jambatan sepanjang 560 meter itu dibina menggunakan kaedah jambatan berkabel dengan sembilan kabel pada setiap pylon dan merupakan jambatan utama serta ikonik bagi laluan Sempadi–Lundu di bawah Projek Jalan Pesisir Sarawak.
Mengulas mengenai punca kelewatan sebelum ini, Datuk Ir. Aidel menjelaskan projek berkenaan pernah berdepan beberapa isu teknikal termasuk penggunaan bahan binaan Pulverised Fuel Ash (PFA) dalam campuran konkrit yang memerlukan kelulusan khas.
“Isu tersebut melibatkan bahan PFA yang digunakan dalam konkrit dan memerlukan kelulusan bukan sahaja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi juga pihak Persekutuan. Namun, semua isu teknikal itu telah berjaya diselesaikan,” jelasnya.
Tambah beliau, peningkatan kemajuan fizikal projek dijangka berlaku secara lebih ketara selepas Mei ini apabila komponen utama seperti kabel jambatan tiba dan kerja-kerja pemasangan pylon serta dek dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Selepas Mei, ‘weightage’ projek akan meningkat dengan ketara. Dengan penyiapan pylon dan decking, peratusan kemajuan fizikal dijangka naik mendadak dan kita menjangkakan jambatan ini boleh digunakan sekitar November atau Disember,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek jalan dua lorong sepanjang kira-kira tujuh kilometer yang menghubungkan kawasan tersebut kini berada pada peringkat tender dan dijangka dilaksanakan dalam fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).