Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat LUNAS & TLDM
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima kunjungan hormat Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kediaman rasminya di sini pada Khamis.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bagi membincangkan persiapan Lawatan Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke Pangkalan TLDM Lumut dan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) termasuk penyelarasan atur cara penuh lawatan.
Taklimat yang dibentangkan turut merangkumi persiapan Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) yang dijadualkan berlangsung di Lumut, Perak.
Delegasi LUNAS diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhar Jumaat manakala TLDM diwakili Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Baharudin Wan Md Nor.
Program pra-upacara akan diadakan pada 9 Februari 2026 yang melibatkan lawatan rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke Pangkalan TLDM Lumut dan LUNAS selain pengisian majlis makan tengah hari, hi-tea dan makan malam rasmi.
Kemuncak lawatan ialah Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tempur Pesisir 3 yang dijadualkan pada 10 Februari 2026 di Ship Lift Area, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd.-EDISI UKAS