Projek Gantian Penuh SK Sebemban Siap, Sedia Digunakan Tahun 2026
SPAOH: Projek Pembinaan Gantian Penuh Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban telah siap sepenuhnya dan sedia digunakan bagi sesi persekolahan tahun 2026, sekali gus memberi nafas baharu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pihak sekolah dijangka mula berpindah ke bangunan baharu tersebut dalam masa terdekat sebelum pembukaan rasmi sekolah pada 12 Februari kelak.
“Sekolah ini telah siap sepenuhnya dan dapat digunakan untuk sesi persekolahan pada tahun 2026 ini.
“Saya minta pihak sekolah berpindah ke sini dalam masa terdekat sebelum sekolah dibuka secara rasmi pada 12 Februari bulan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran penyerahan projek tersebut, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Mohammad Razi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen berterusan dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selamat dan selesa kepada para pelajar.
Beliau turut berharap masyarakat setempat dapat bersama menjaga kemudahan itu dengan baik kerana ia sangat cantik, selesa dan mampu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih inklusif.
Menurutnya, pembinaan sekolah baharu itu turut memberi kelegaan kepada pelajar dan warga sekolah yang sebelum ini berdepan risiko hakisan sungai di tapak sekolah lama.
“Saya yakin pelajar-pelajar akan lebih selesa di sini tanpa perlu risau tentang masalah hakisan sungai seperti yang berlaku di sekolah lama yang terletak di tebing sungai dan mengalami hakisan teruk hampir setiap tahun,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Datuk Mohammad Razi memberi jaminan akan terus berusaha memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur pendidikan di kawasan Saribas termasuk sekolah-sekolah lain yang memerlukan perhatian.
Beliau juga komited untuk terus merancang pembangunan SK Sebemban dari semasa ke semasa demi kesejahteraan pelajar dan komuniti setempat.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas.-EDISI UKAS