Agensi Islam Sarawak Diseru Kekal Relevan, Budayakan Pendekatan 3R
KUCHING: Agensi-agensi Islam di Sarawak diseru agar sentiasa kekal relevan dan berdaya saing dengan mengamalkan pendekatan ‘Revisit’, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ (3R) sebagai asas penambahbaikan berterusan dalam kepimpinan, tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penjawat awam khususnya agensi Islam perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perkhidmatan awam yang semakin kompleks, selaras dengan jangkaan masyarakat dan generasi muda masa kini.
Beliau menegaskan kepentingan mengamalkan pendekatan 3R sebagai amalan berterusan dalam operasi harian dan pembangunan kepimpinan.
“Revisit' bermaksud kita sentiasa menilai diri, 'Rethink' bermaksud kita sentiasa mencari cara yang lebih baik untuk penambahbaikan, manakala 'Recharge' adalah tentang memperkukuh kapasiti dan keupayaan supaya kita kekal relevan,” katanya.
Beliau berucap demikian semasa Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak di Kompleks Islam Sarawak pada Jumaat.
Sementara itu, beliau menambah, landskap perkhidmatan awam telah berubah dengan ketara, selari dengan perubahan demografi dan jangkaan golongan muda yang memasuki alam pekerjaan.
“Cara kita bekerja beberapa dekad lalu sudah tidak lagi sesuai pada hari ini. Kita mesti menilai semula cara bekerja dan bagaimana kita memberi respons kepada keperluan masyarakat,” tambah beliau.
Beliau juga menekankan kepentingan kerja berpasukan di semua peringkat perkhidmatan awam, sambil menyeru pembudayaan semangat ‘satu pasukan’ yang melangkaui hierarki jawatan dan sempadan jabatan.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan pembelajaran berterusan, dengan menggesa pegawai meningkatkan kemahiran melangkaui pengkhususan teras masing-masing bagi mengurus cabaran tadbir urus yang semakin kompleks.
“Kecemerlangan perkhidmatan yang mampan perlu kekal sebagai matlamat utama, dengan agensi awam memberi tumpuan kepada impak jangka panjang berbanding pencapaian jangka pendek,” ucapnya lagi.
Majlis tersebut menjadi platform bagi Majlis Islam Sarawak (MIS) memperkukuh peranan strategiknya dalam menyelaras hala tuju agensi-agensi Islam di negeri ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS