Datuk Amar Douglas Uggah Tinjau PPS Serian, Lapan PPS Dibuka Susulan Banjir Luar Jangka
SERIAN: Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas turun padang melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bahagian Serian bagi meninjau keadaan serta kebajikan mangsa banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Lawatan pada Jumaat itu melibatkan PPS Dewan Taman Duranda Emas, Siburan dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Siburan.
Difahamkan, di PPS Dewan Taman Duranda Emas sahaja, seramai 188 mangsa daripada 48 keluarga telah dipindahkan selepas air naik secara mendadak seawal jam 3 pagi tadi.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, kejadian banjir kali ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk dan berlaku di luar jangkaan, khususnya di kawasan Serian.
Setakat ini, sebanyak lapan PPS telah dibuka di Bahagian Serian melibatkan Balai Raya Kampung Betong Kenawit, SK Tanah Merah, Kampung Sungai Turong, Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru, Dewan Taman Duranda Emas, SK St. Peter Simpuk, Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi, Dewan Kampung Rimba Padi serta Dewan Sri Tok Nan di Kampung Seniawan Jepon.
“Kita turut menerima laporan melibatkan 15 kejadian tanah runtuh dan 13 laluan jalan terputus. Saya telah mengadakan perbincangan dengan Jurutera Bahagian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, dan pasukan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pembaikan jalan,” katanya kepada media.
Beliau menjelaskan Dewan Taman Duranda Emas bukan PPS rasmi, namun terpaksa digunakan sebagai langkah segera berikutan ketiadaan lokasi alternatif yang sesuai.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kekangan awal melibatkan kemudahan asas seperti tandas dan bekalan air, namun isu berkenaan berjaya ditangani dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
Menyentuh aspek kesihatan awam, Datuk Amar Douglas Uggah berkata langkah pencegahan turut dipertingkatkan termasuk saringan kesihatan oleh petugas perubatan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit seperti demam, selain pelaksanaan kerja-kerja pengasapan (fogging) untuk mencegah wabak denggi.
Mengulas penggunaan Dewan Taman Duranda Emas sebagai PPS buat kali pertama, beliau memaklumkan pihaknya akan meminta Residen Bahagian Serian menjalankan penilaian terperinci bagi mempertimbangkan pendaftaran dewan tersebut sebagai PPS rasmi serta keperluan naik taraf pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir di zon selatan Sarawak termasuk Kuching, Serian dan Kota Samarahan supaya sentiasa berwaspada, bersiap siaga serta mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan nyawa.
“Kita memahami kebimbangan mangsa terhadap keselamatan rumah dan harta benda, namun pihak polis telah memberi jaminan untuk memantau kawasan yang ditinggalkan. Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” tegasnya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Ketua Polis Daerah Padawan Superitenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi. -EDISI UKAS