Agensi Islam Sarawak Perkukuh Budaya Kerja Baharu, Perluas Pensijilan Halal
KUCHING: Agensi-agensi Islam di Sarawak digesa untuk terus memperkukuh budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih relevan, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha menegaskan, pendekatan kepimpinan dan budaya kerja baharu yang diterapkan perlu berteraskan keikhlasan, kecekapan serta kebertanggungjawaban dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Budaya kerja dalam perkhidmatan awam perlu sentiasa ditambah baik supaya kekal relevan dengan keperluan semasa.
"Setiap tanggungjawab yang diamanahkan mesti dilaksanakan dengan penuh integriti, kecekapan dan fokus kepada hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di Kompleks Islam Sarawak di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pengukuhan budaya kerja ini amat penting bagi meningkatkan kecekapan jentera perkhidmatan awam, memastikan manfaat dapat dinikmati rakyat serta menjamin hasil kerja yang berkualiti dan berimpak tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Misnu Taha turut menegaskan komitmen berterusan Majlis Islam Sarawak dan agensi berkaitan dalam memperkasa ekosistem halal di negeri ini, khususnya melalui galakan kepada pengusaha premis makanan, termasuk restoran makanan laut, untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada pengusaha.
"Justeru, kami mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang bagi membantu dan membimbing pengusaha dalam proses permohonan pensijilan halal,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa kadar pensijilan halal ditetapkan serendah RM200 bagi tempoh dua tahun sebagai galakan kepada lebih banyak premis untuk mendapatkan pengiktirafan halal.
Selain itu, premis yang memperoleh pensijilan halal akan dibantu dari segi promosi bagi meningkatkan keterlihatan serta kepercayaan orang ramai terhadap status halal premis berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa istilah ‘mesra Muslim’ tidak boleh disamakan dengan status halal dan hanya premis yang memiliki sijil halal sah diiktiraf sebagai halal.
“Jika tiada sijil halal, maka status halal tidak boleh diberikan. Perkara ini perlu difahami dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Usaha bersepadu ini, termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan serta pemain industri seperti hotel, restoran dan pengusaha kecil, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus halal dan penyampaian perkhidmatan Islam di Sarawak.-EDISI UKAS