Banjir: Sembilan PPS Kini Aktif Di Sarawak, Lapan Baru Dibuka
KUCHING: Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini aktif di beberapa bahagian di Sarawak susulan hujan berterusan sehingga menyebabkan banjir melanda semula beberapa kawasan sejak awal pagi tadi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada sembilan PPS yang beroperasi, satu PPS di Bekenu telah dibuka sejak 4 Januari 2026, manakala lapan PPS lagi dibuka pagi ini melibatkan kawasan Kuching (Bau), Samarahan dan Serian (Siburan).
“Saya telah diberitahu awal pagi tadi ada berlaku banjir di Serian dan jentera Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Bahagian yang diketuai oleh Residen telah digerakkan sebaik menerima laporan kejadian banjir, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk sama-sama turun memindahkan mangsa dan menyediakan PPS untuk menempatkan mereka.
“Setakat ini, operasi pemindahan berjalan dengan baik dan tiada sebarang aduan diterima daripada orang ramai. Jadi, kita berterima kasih kepada mereka yang sedia untuk pindah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, PPS yang baru dibuka melibatkan Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong dengan 20 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94 mangsa, PPS Dewan Serbaguna Kampung Blimbin, Krokong belum didedahkan (dalam proses pengemaskinian data), serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Endap, Kampung Endap di Samarahan melibatkan tiga keluarga dan sembilan mangsa.
Di Bahagian Serian pula katanya, PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Betong, Kanowit melibatkan enam keluarga dengan 26 mangsa, PPS SK Tanah Merah Kampung Turong melibatkan 30 KIR dan 95 mangsa serta PPS SK St. Peter, Simpok melibatkan empat keluarga dengan 15 mangsa.
Manakala PPS di Dewan Taman Duranda Emas dan Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru jumlah mangsa juga belum didedahkan (dalam proses pengemaskinian data).
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Douglas turut memaklumkan pihak PDRM telah diarahkan untuk memantau keselamatan rumah dan harta benda penduduk yang ditinggalkan semasa pemindahan.
Selain itu menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut diarahkan menjalankan saringan kesihatan terhadap mangsa di PPS serta melaksanakan penyemburan bagi mencegah penularan penyakit, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang