Jalan Baharu RM12 Juta Dijangka Kurangkan Kesesakan Sekitar SMK Tinggi Sarikei
SARIKEI: Pembinaan Jalan Nyelong Bypass/Kwong Ming Minah bernilai RM12 juta sepanjang kira-kira dua kilometer dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei ketika waktu puncak.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, laluan baharu itu akan menyediakan pilihan perjalanan alternatif bagi mengurangkan tumpuan kenderaan di laluan utama yang sering digunakan penduduk untuk urusan harian.
Menurut Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu, keperluan laluan alternatif itu amat dirasai di sekitar SMK Tinggi Sarikei, terutama ketika waktu menghantar dan mengambil pelajar, yang sering menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.
“Jalan baharu ini diharap dapat membantu mengatasi kesesakan yang berlaku di sekitar SMK Tinggi Sarikei, khususnya ketika waktu pergi dan pulang sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jalan Nyelong By-Pass di sini, pada Jumaat.
Projek sepanjang kira-kira dua kilometer itu dijangka membantu mengagihkan aliran trafik dengan menyediakan satu lagi akses kepada pengguna jalan raya, sekali gus memberi kemudahan kepada ibu bapa, pelajar, guru serta penduduk setempat.
Jalan baharu itu dibangunkan dengan rizab jalan selebar 25 meter dan dilaksanakan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Sehubungan itu, Dato Sri Huang berharap semua pihak, khususnya pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran, memberikan kerjasama sepanjang tempoh pembinaan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.-EDISI UKAS