Infrastruktur Jalan Raya Buka Peluang Ekonomi Baharu Sarikei
SARIKEI: Pembangunan infrastruktur jalan raya di Sarikei berpotensi memperluas peluang ekonomi tempatan menerusi akses pasaran yang lebih baik, kelancaran pengangkutan hasil pertanian serta peningkatan aktiviti perniagaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, kemudahan jalan raya yang baik penting dalam menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pusat pengumpulan dan pasaran, sekali gus membantu pengusaha tempatan memperluas capaian perniagaan.
Menurut beliau, kelancaran pergerakan hasil pertanian, bahan mentah dan barangan bukan sahaja memudahkan urusan pengusaha, malah turut menyokong rantaian bekalan serta meningkatkan kecekapan aktiviti ekonomi setempat.
“Keadaan ini dapat membantu mengembangkan kegiatan ekonomi sedia ada, di samping membuka ruang kepada masyarakat untuk meneroka peluang perniagaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jalan Nyelong By-Pass di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Huang berkata, kemudahan infrastruktur yang lebih baik turut menjadi antara faktor penting dalam menarik minat pelabur untuk mengembangkan kegiatan ekonomi, sekali gus berpotensi merancakkan pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Kata Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu lagi, peningkatan akses jalan raya juga membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk melibatkan diri dalam rantaian ekonomi yang lebih luas selain memperkukuh hubungan perdagangan antara kawasan.
Justeru, pembangunan infrastruktur jalan raya perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi Sarikei serta memperluas peluang pendapatan masyarakat. -EDISI UKAS