MBKS Salur Bantuan Tambahan RM1,000 Kepada Setiap Keluarga Terjejas Ribut
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut kencang di kawasan pentadbirannya bagi membantu membaiki kediaman dan meringankan beban kewangan mangsa.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, bantuan menerusi Program Prihatin MBKS itu merupakan inisiatif tambahan pihak berkuasa tempatan berkenaan, selain bantuan bencana berjumlah RM107,000 yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak kepada kira-kira 75 keluarga terjejas.
“Apabila bumbung rumah diterbangkan angin, mangsa tidak bertanya siapa yang datang dahulu atau siapa yang mendapat liputan paling besar. Mereka hanya mahu rumah dibaiki dan kehidupan kembali seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Bantuan Kewangan MBKS kepada Keluarga Terjejas Akibat Angin Kencang di MBKS, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, bantuan Kerajaan Sarawak yang diumumkan pada 25 September lalu akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang layak selepas permohonan melalui proses semakan dan pengesahan dokumen.
Proses itu merangkumi penyediaan laporan polis serta dokumen berkaitan kerosakan kediaman bagi memastikan setiap permohonan memenuhi syarat ditetapkan dan penyaluran peruntukan awam dilaksanakan secara telus serta teratur.
Dato Wee berkata, sejak hari pertama kejadian, MBKS bersama ahli majlis dan pemimpin masyarakat telah turun padang melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah, selain membantu mangsa menyediakan dokumen dan mengemukakan permohonan bantuan kepada kerajaan.
Beliau menjelaskan, bantuan kepada mangsa turut melibatkan sumbangan daripada wakil rakyat, dengan setiap saluran bantuan mempunyai mekanisme dan proses penyaluran tersendiri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan semua pihak adalah memastikan mangsa menerima bantuan sewajarnya agar kerja-kerja pembaikan rumah dapat dilaksanakan dan kehidupan mereka kembali pulih.
Dalam pada itu, MBKS akan terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi perkhidmatan bergerak dan saluran komunikasi sedia ada bagi mengenal pasti keperluan penduduk serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.- EDISI UKAS