RM86 Juta Naik Taraf Nyelong By-Pass, Kapasiti Jalan Dipertingkat
SARIKEI: Jalan Nyelong By-Pass bakal dinaik taraf kepada empat lorong dua hala menerusi projek bernilai RM86 juta sepanjang 3.6 kilometer bagi meningkatkan kapasiti laluan dan memperkukuh hubungan perhubungan di Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek berkenaan penting dalam meningkatkan keupayaan Nyelong By-Pass sebagai laluan alternatif bagi pengguna yang keluar masuk ke bandar Sarikei.
Menurutnya, laluan itu turut menjadi antara akses menuju Tanjung Manis, sekali gus menjadikan naik taraf berkenaan penting dalam menyokong keperluan perhubungan dan pembangunan di kawasan tersebut.
“Peningkatan ini penting bagi memastikan kemudahan jalan raya yang disediakan dapat terus memenuhi keperluan semasa, khususnya dengan pertambahan penggunaan laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jalan Nyelong By-Pass di sini, pada Jumaat.
Projek berkenaan melibatkan peningkatan standard jalan sedia ada daripada R3 kepada U5 mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR), selain peluasan konfigurasi jalan daripada dua lorong satu laluan kepada empat lorong dua hala.
Dato Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas perhatian dan sokongan terhadap pembangunan infrastruktur di Sarikei.
Projek itu dilaksanakan di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berharap kontraktor dapat memastikan kerja pembinaan dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan aspek keselamatan perlu diberi perhatian sepanjang tempoh pembinaan bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya dan pekerja di tapak projek.-EDISI UKAS