Blok Baharu Unit Ibu dan Anak, Pergigian Perkasa Klinik Kesihatan Debak
DEBAK: Klinik Kesihatan Debak bakal dinaik taraf menerusi projek cadangan meroboh dan membina blok baharu Unit Kesihatan Ibu dan Anak serta Klinik Pergigian dengan kos keseluruhan berjumlah RM11 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Razi bin Sitam berkata, projek berkenaan merupakan satu transformasi penting bagi menggantikan bangunan klinik sedia ada yang telah lama dan diperbuat daripada kayu, selain mempunyai kemudahan wad serta teknologi perubatan yang terhad.
Menurut beliau, klinik baharu itu bakal dilengkapi kemudahan lebih moden dan lengkap, sekali gus meningkatkan keselesaan serta kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.
“Yang penting kita berusaha untuk menyediakan kemudahan yang betul-betul cukup lengkap dengan teknologi terkini dapat dilaksanakan di Klinik Kesihatan Debak ini kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Cadangan Meroboh Dan Membina Blok Baru Unit Kesihatan Ibu dan Anak serta Membina Klinik Pergigian di Klinik Kesihatan Debak, Betong pada Jumaat.
Datuk Dr Razi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) atas sokongan dan peruntukan yang disalurkan bagi merealisasikan projek tersebut.
ADUN Saribas berkata, klinik berkenaan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk di bawah pentadbiran Daerah Debak, malah kawasan sekitarnya sebagai pelengkap kepada Klinik Kesihatan Pusa, Klinik Kesihatan Spaoh dan Hospital Betong.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kawasan sekitar klinik diperluaskan bagi menangani keperluan tempat letak kenderaan apabila bangunan baharu siap kelak.
“Masalah tersebut jangan dijadikan alasan untuk kita tidak melaksanakan pembangunan kerana masalah bangunan lama ini pun satu masalah kepada kita. Jadi kita ubah dan transform dengan bangunan konkrit yang lebih baik daripada bangunan kayu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pembangunan semula Klinik Kesihatan Debak merupakan perkembangan yang amat baik kepada masyarakat setempat kerana menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik dan selesa.
Menurut beliau, klinik berkenaan bakal menjadi antara fasiliti kesihatan yang lengkap di Bahagian Betong dengan kemudahan seperti X-Ray, makmal dan hemodialisis, sekali gus mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer serta membantu mengurangkan beban Hospital Betong.
Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan Unit Kesihatan Ibu dan Anak serta perkhidmatan pergigian bagi memudahkan penduduk mendapatkan pemeriksaan kehamilan, pemeriksaan bayi dan kanak-kanak serta rawatan pergigian tanpa perlu menempuh jarak yang jauh.
Dalam masa sama, beliau berharap pembangunan fizikal klinik berkenaan turut disokong dengan tenaga kerja perubatan dan pergigian yang mencukupi serta peralatan yang bersesuaian bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan berkesan.
Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 20 bulan, bermula 27 Julai 2026 hingga 26 Mac 2028.
Dalam pada itu Datuk Dr Razi bersama Dato Dr Richard berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong selaku agensi teknikal dapat bekerjasama rapat dengan pihak kontraktor bagi memastikan projek dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Mohamad Nurhaizam, skop projek melibatkan kerja-kerja merobohkan blok-blok kayu sedia ada dan membina blok baharu dua tingkat yang menempatkan Unit Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di tingkat bawah serta Klinik Pergigian di tingkat atas.
Projek tersebut turut merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal termasuk pemasangan penghawa dingin, kerusi pergigian, peralatan perubatan seperti oral X-Ray serta perkhidmatan ELV.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nyaup. - EDISI UKAS