90 Pelajar Sekolah Rendah Terima Baucar Sejahtera MADANI Bernilai RM500 di Miri
MIRI: Seramai 90 orang pelajar sekolah rendah dari Daerah Miri dan Daerah Subis menerima manfaat menerusi Program Penyerahan Baucar Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI): Fokus Pendidikan peringkat Bahagian Miri yang berlangsung di Pasaraya HariHari Cawangan Senadin, pada Jumaat.
Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli berkata, program anjuran Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah, khususnya dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak bagi sesi persekolahan tahun 2026.
Menurut beliau, penyampaian bantuan sebelum bermulanya sesi persekolahan adalah langkah yang amat signifikan kerana ia memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga dan memastikan keperluan pendidikan anak-anak dapat dipenuhi tepat pada masanya.
“Inisiatif ini sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya semasa majlis penyerahan baucar tersebut.
Dato Jasni turut menjelaskan bahawa pelaksanaan Program Sejahtera MADANI adalah selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan mutu hidup rakyat.
Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dengan tumpuan kepada empat teras utama iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.
Program ini turut mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang berteraskan enam nilai utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, di mana setiap dasar kerajaan bukan sahaja memacu pembangunan ekonomi, malah menitikberatkan kebajikan rakyat serta kelestarian jangka panjang.
Secara keseluruhannya, usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui pelbagai program sosioekonomi dan bantuan bersasar ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi tidak tercicir, khususnya dalam menjamin kelangsungan dan akses pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS