Sumbangan TV Pintar Perkasa Pendidikan Digital Di SK Bandar Bintangor
MERADONG: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendidikan digital dizahirkan menerusi sumbangan enam unit televisyen pintar kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor.
Sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang diagihkan pada Jumaat bertujuan menyokong pelaksanaan dasar pendidikan digital di sekolah berkenaan selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (DPD 2023), khususnya Teras 4 Pengupayaan Infrastruktur dan Infostruktur serta Teras 5 Kandungan Digital Berkualiti.
Menurut pihak sekolah, inisiatif ini akan memperkukuh kesiapsiagaan SK Bandar Bintangor dalam menyediakan persekitaran pembelajaran digital yang kondusif, sekali gus memperkasa murid dan guru melalui pendekatan pedagogi berasaskan teknologi.
Kemudahan tersebut membolehkan guru memanfaatkan bahan digital interaktif, aplikasi pendidikan, video pembelajaran serta platform pengajaran dan pembelajaran (PdP) maya bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu di bilik darjah.
Ia juga menyokong pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan elemen kreativiti, kolaborasi, pemikiran kritis dan komunikasi.
Selain itu, penggunaan teknologi berkenaan dijangka memperluas kaedah pembelajaran berbantukan teknologi seperti kuiz digital, simulasi multimedia dan paparan visual masa nyata, sekali gus menjadikan proses PdP lebih menarik, interaktif dan berpusatkan murid.
Secara keseluruhan, sumbangan ini dijangka memberi manfaat langsung kepada pelaksanaan PdP harian, meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid serta menyokong pencapaian objektif pendidikan digital jangka panjang ke arah melahirkan generasi celik teknologi, kompeten dan berdaya saing dalam era digital. - EDISI UKAS