Residen Bahagian Serian Tinjau Lokasi Tanah Runtuh di Kampung Tesu Kura, Tebedu
TEBEDU: Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph telah mengadakan lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Tesu Kura, Tebedu bagi meninjau keadaan sebenar insiden yang melibatkan sebuah rumah di kawasan tersebut.
Lawatan yang diadakan pagi tadi turut disertai Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian TS. Chirusly Francis Kureng serta wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Serian.
Ia bertujuan melihat serta menilai tahap kerosakan dan situasi semasa di lokasi kejadian sebelum anggaran kos bagi kerja-kerja pembaikan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian.
Mangsa kejadian, Michael Tanum, 56 tahun, yang tinggal bersama isteri dan tiga orang anaknya sejak tahun 2013 di sebuah rumah bantuan kerajaan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) turut terjejas dalam insiden tersebut.
Menurut pihak JKR, kejadian tanah runtuh dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan selain pergerakan air bawah tanah akibat sistem perparitan yang tidak sempurna di kawasan berkenaan.
Sebagai bantuan awal, APM Bahagian Serian telah menyalurkan makanan kering kepada keluarga mangsa bagi membantu meringankan beban yang dihadapi.
Dalam pada itu, mangsa berharap lawatan oleh Residen Bahagian Serian bersama ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan dapat mempercepatkan kelulusan permohonan peruntukan daripada State Disaster Management Committee (SDMC) bagi tujuan pembaikan serta tindakan susulan di lokasi kejadian.-EDISI UKAS