Sarawak Water serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal Sarawak
KUCHING: Sarawak Water terus memperkukuhkan komitmen tanggungjawab sosial korporat apabila menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM325,000 kepada Baitulmal Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembayaran zakat perniagaan itu merupakan kali pertama dilaksanakan oleh Sarawak Water kepada Baitulmal Sarawak.
Menurut beliau, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab korporat secara mampan dan inklusif selain berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
“Ini kali pertama Sarawak Water memberikan zakat kepada Baitulmal Sarawak yang disaksikan Premier Sarawak sebentar tadi.
“Penyerahan zakat perniagaan ini bukan sahaja memenuhi kewajipan syarikat, malah mencerminkan keprihatinan Sarawak Water dalam menyumbang semula kepada masyarakat serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita usai Majlis penyerahan tersebut yang telah disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Tambah beliau, Sarawak Water akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai organisasi yang bertanggungjawab, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak.
Penyerahan zakat perniagaan itu turut mencerminkan komitmen syarikat bukan sahaja dalam memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air berkualiti kepada rakyat, malah memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Water, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Maselni Jamal.-EDISI UKAS