Ombudsman Sarawak Kini Beroperasi Penuh, Rakyat Digesa Tampil Lapor Salah Tadbir
KUCHING: Sarawak melakar satu lagi detik bersejarah apabila Ombudsman Sarawak kini beroperasi sepenuhnya bagi melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran agensi kerajaan negeri serta badan berkaitan kerajaan di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, operasi penuh badan itu menjadi bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik.
Menurut beliau, kunjungan hormat bersama lima ahli Ombudsman Sarawak kepada Premier Sarawak diadakan bagi memaklumkan bahawa badan berkenaan kini telah memenuhi syarat minimum keanggotaan seperti diperuntukkan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak.
“Ini adalah detik bersejarah untuk Sarawak kerana kita merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang mempunyai Ombudsman sendiri.
“Dengan operasi penuh ini, Ombudsman Sarawak akan melaksanakan tugas menyemak dan memantau pengurusan serta pentadbiran agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta mana-mana agensi yang menerima emolumen daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pejabat Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Jumaat.
Tambahnya, DUN Sarawak baru-baru ini turut meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menilai laporan tahunan Ombudsman Sarawak yang akan dibentangkan pada sesi DUN akan datang.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan memastikan setiap cadangan dan teguran yang dikemukakan Ombudsman dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan sebanyak 67 aduan telah diterima selepas proses penapisan dilakukan oleh Ombudsman Sarawak.
Jelasnya, terdapat aduan yang berbentuk dakwaan tanpa bukti, selain ada yang melibatkan unsur jenayah dan rasuah yang terus disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita fokus kepada isu salah tadbir atau mal-administration melibatkan agensi kerajaan negeri, PBT, badan berkanun dan GLC Sarawak.
“Sekiranya rakyat mendapati berlaku salah tadbir, tampil dan berhubung dengan pihak Ombudsman dengan membawa bukti serta data yang berkaitan,” ujarnya.
Tambah beliau, identiti pengadu akan dirahsiakan sepenuhnya dan masyarakat boleh mengemukakan aduan menerusi surat, emel atau laman sesawang rasmi Ombudsman Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa aplikasi aduan sedang dibangunkan dengan kerjasama SAINS bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan pada masa hadapan.
“Tujuan utama penubuhan Ombudsman adalah untuk memastikan Sarawak bergerak lebih pantas ke hadapan dari segi integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
“Kita mahu pelabur antarabangsa yakin dengan sistem pentadbiran di Sarawak kerana keyakinan terhadap integriti dan tadbir urus amat penting dalam menarik pelaburan,” katanya lagi.-EDISI UKAS