Pelajar Curtin Timba Pengalaman Sempena Lawatan ke DUN Sarawak
KUCHING: Sekumpulan pelajar dari Curtin University Malaysia berpeluang menimba pengalaman baharu menerusi lawatan sambil belajar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pada Jumaat.
Lawatan yang mengikuti rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sistem pentadbiran dan proses persidangan dewan selain meningkatkan pemahaman mereka terhadap fungsi institusi legislatif negeri.
Salah seorang pelajar, Lim Zhi Yeng dari Melaka berkata lawatan itu memberi pengalaman bermakna kerana beliau dapat memahami bagaimana undang-undang digubal dan bagaimana wakil rakyat menyuarakan pandangan demi kepentingan rakyat.
“Saya belajar banyak perkara hari ini seperti bagaimana undang-undang digubal dan bagaimana wakil rakyat menyuarakan pendapat mereka untuk rakyat. Reka bentuk DUN juga sangat menarik, terutama sembilan tiang yang melambangkan rakyat,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Eugene Supang Paran yang berasal dari Miri berkata pengalaman tersebut amat istimewa dan memberi keterujaan kepadanya untuk melihat sendiri suasana persidangan DUN.
“Bagi saya, pengalaman ini sangat istimewa dan saya bersyukur dapat merasainya. Suasana di sini sangat baik dan saya amat teruja dapat bertemu semua YB,” katanya.
Beliau turut berharap generasi muda dapat melihat Sarawak terus berkembang menjadi negeri yang lebih maju pada masa hadapan.
“Sebagai generasi muda, saya berharap Sarawak dapat terus berkembang dan menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan bertamadun. Saya berharap Sarawak dapat bergerak ke arah masa depan yang lebih baik dengan segala penambahbaikan serta para pemimpin membuat keputusan yang baik,” ujarnya.
Manakala seorang lagi pelajar, Chiew Jiao Hao dari Kedah berkata lawatan itu merupakan pengalaman baharu buat dirinya kerana belum pernah melawat bangunan kerajaan sebelum ini.
“Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya kerana saya tidak pernah melawat bangunan kerajaan sebelum ini. Reka bentuk DUN dan maksud di sebalik bangunan itu memberi pengalaman yang sangat menarik kepada saya,” katanya.
Menurut beliau, lawatan tersebut turut membuka peluang untuk memahami proses penggubalan undang-undang serta tanggungjawab kerajaan dalam mentadbir negeri.
“Saya belajar bagaimana undang-undang dibincangkan, bagaimana ia dilaksanakan daripada DUN kepada pelaksanaan sebenar serta bagaimana kerajaan dibentuk termasuk tujuan dan tanggungjawab mereka,” tambahnya.-EDISI UKAS