R&R Engkilili Mula Beroperasi, Pacu Kemudahan Pengguna & Ekonomi Setempat
ENGKILILI: Kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) Engkilili kini mula beroperasi secara rasmi dengan menawarkan pelbagai fasiliti bagi meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh telah mengadakan lawatan pemantauan ke kawasan R&R berkenaan sempena hari pertama operasinya bagi meninjau tahap kesiapsiagaan dan kelancaran pengurusan fasiliti tersebut.
Menurut beliau, kemudahan itu yang dikendalikan oleh Sokanjaya JKR dilihat mampu memberi nilai tambah kepada pengguna jalan raya khususnya mereka yang melalui laluan utama kawasan Engkilili.
Sepanjang lawatan, beliau turut meninjau pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk lapan gerai perniagaan terdiri daripada tujuh gerai makanan dan minuman serta sebuah kedai runcit yang beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Selain itu, R&R tersebut turut dilengkapi kemudahan tandas lelaki dan perempuan, surau, pondok rehat serta kawasan parkir untuk pengangkutan awam dan kenderaan persendirian.
Mahra berharap kemudahan R&R Engkilili dapat memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya dari aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan berehat sepanjang perjalanan.
Menurut beliau, kewujudan R&R berkenaan juga dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan menerusi peluang perniagaan yang disediakan kepada usahawan kecil dan peniaga setempat. -EDISI UKAS