Ibu Bapa Manfaatkan Jualan Rahmah Kembali Ke Sekolah di Limbang
LIMBANG: Pelaksanaan Jualan Rahmah Kembali Ke Sekolah memberi manfaat kepada ibu bapa di sini, dalam meringankan beban kewangan bagi membuat persiapan persekolahan anak menjelang pembukaan sesi akademik 2026 bermula 12 Januari ini.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Limbang bersama Grand Pacific Departmental Store Sdn. Bhd.
Menerusi pelaksanaan inisiatif ini, potongan harga antara 10 hingga 30 peratus ditawarkan bagi pelbagai barangan keperluan sekolah termasuk beg, pakaian seragam dan kasut sekolah.
Jualan Rahmah Kembali Ke Sekolah turut menerima sokongan subsidi kerajaan berjumlah RM30,000 bagi membolehkan harga barangan keperluan persekolahan ditawarkan pada kadar lebih rendah kepada pengguna.
Subsidi berkenaan bertujuan menampung sebahagian kos operasi serta potongan harga yang diberikan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai ibu bapa menikmati penjimatan dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Seorang ibu, Junaidah Dison, 56, berkata pelaksanaan Jualan Rahmah amat membantu ibu bapa, khususnya dalam situasi kos barangan persekolahan yang semakin meningkat.
“Saya berasa amat bersyukur dengan adanya Jualan Rahmah ini kerana sedikit sebanyak ia meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan sekolah anak-anak,” katanya ketika ditemui UKAS pada Jumaat.
Menurut beliau, inisiatif seumpama itu amat relevan memandangkan kos barangan persekolahan yang semakin meningkat, selain membantu ibu bapa merancang perbelanjaan dengan lebih berhemat.
Sementara itu, Rosairina, 26, berkata Jualan Rahmah memberi peluang kepada ibu bapa mendapatkan keperluan persekolahan tanpa menanggung perbelanjaan yang tinggi, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan.
“Saya sangat gembira dengan jualan murah ini kerana anak-anak saya ramai dan masih bersekolah rendah. Peluang untuk berjimat amat bermakna bagi kami sekeluarga,” ujarnya.
Pelaksanaan inisiatif kerajaan ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi penjimatan kos, malah turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat.-EDISI UKAS