PPS Dewan Suarah Kota Samarahan Dibuka, 8 Mangsa Banjir Dipindahkan
KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Kota Samarahan telah dibuka pada jam 10 pada Jumaat bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Plaie yang terjejas akibat paras air yang meningkat.
Seramai lapan orang mangsa daripada dua Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan dan didaftarkan di PPS tersebut setakat jam 9.45 pagi, melibatkan golongan dewasa, warga emas, kanak-kanak serta seorang bayi perempuan.
Menurut laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang warga emas perempuan, tiga kanak-kanak serta seorang bayi, manakala tiada mangsa melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) direkodkan setakat ini.
Bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terjamin, beberapa agensi berkaitan telah digerakkan ke PPS tersebut, antaranya APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Samarahan dengan jumlah keseluruhan melibatkan tiga agensi utama.
APM Daerah Samarahan terus memantau situasi banjir di kawasan terlibat dan menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke PPS.
Orang awam yang berdepan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999 untuk bantuan segera. -EDISI UKAS