SUK Sarawak Tinjau PPS Gedong, Kebajikan Mangsa Banjir Jadi Keutamaan
GEDONG: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah hadir meninjau keadaan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Gedong bersama Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee pada Sabtu bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta pengurusan operasi bantuan kepada mangsa banjir.
Dalam lawatan tersebut, beliau berdua turut berkesempatan menyantuni mangsa banjir serta menzahirkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan dan penyelamat yang terlibat secara langsung dalam operasi pemindahan dan pengurusan PPS.
Untuk rekod, seramai 21 mangsa banjir daripada lima Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di PPS berkenaan setakat jam 11 pagi susulan bencana banjir yang melanda kawasan sekitar.
Mangsa terlibat terdiri daripada sebuah keluarga dari Kampung Datuk Patinggi Muai, Gedong serta empat keluarga dari Kampung Kanchong Baru (Sungai Girang), Gedong.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa, tiga lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan, termasuk seorang bayi perempuan, telah dipindahkan ke PPS tersebut bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terus terpelihara.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abang Ahmad Abang Julai, Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Gedong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Simunjan Tamida Da’adi dan Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli. -EDISI UKAS