Projek Jambatan Konkrit Ke Kampung Beleti Siap Sepenuhnya
SIMANGGANG: Projek pembinaan jambatan konkrit menyeberangi Sungai Undop berdekatan dengan penempatan Kampung Beleti Undop Ili dekat sini kini sudah selesai dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek terbabit telah dilaksanakan dengan kos sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
"Jambatan konkrit berkenaan telah dibina oleh syarikat kontraktor ROSBEN Holding Sendirian Berhad dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman bertindak sebagai agensi pelaksana projek ini.
"Kemudahan baharu ini akan diserah kepada agensi penyelenggara setelah kita selesai dan berpuas hati terhadap hasil kerja kontraktor," katanya ketika melakukan lawatan ringkas terhadap kemudahan baharu itu, pada Jumaat.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berharap agar jambatan konkrit baharu ini dapat memudahkan urusan penduduk di samping membantu meneroka tanah baharu bagi tujuan pembangunan ekonomi.
Beliau ketika meninjau hasil kerja kontraktor berhubung pelaksanaan projek terbabit juga turut melawat tapak cadangan naik taraf jalan akses dari Gereja Saint Lawrence hingga ke jambatan konkrit menuju Kampung Beleti.
Terdahulu, pelaksanaan projek jambatan konkrit berkenaan telah bermula pada 12 Januari 2024 dengan kos asal sebanyak RM4.2 juta setelah jambatan gantung yang asal sudah usang dan tidak selamat digunakan.
Skop kerja projek berkenaan lagi melibatkan pembinaan sebuah jambatan jenis 'hybrid' sepanjang 70 meter dengan lebar empat meter.
Projek ini pada asalnya hendak dilaksana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun 2018 namun disebabkan oleh faktor peruntukan, ia dirujuk ke SADA pada tahun 2020. -EDISI UKAS