ADUN Jepak Agih Bakul Makanan Kepada Penduduk Terjejas Di Kawasan Ulu Sebauh
BINTULU: Bantuan awal berupa bakul makanan disalurkan kepada penduduk di tiga rumah panjang di kawasan Ulu Sebauh susulan kejadian banjir yang menyebabkan beberapa laluan darat terputus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sebanyak 56 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk terlibat sebagai langkah segera bagi memastikan keperluan asas mereka terus terjamin.
“Bantuan ini melibatkan 20 bakul makanan untuk Rumah Atan Tuah, 25 bakul makanan kepada Rumah Peter Suring dan 11 bakul makanan bagi Rumah Anthony Egok.
“Penghantaran ke Rumah Atan Tuah berjaya dilaksanakan petang ini bersama Pusat Khidmat N64 Jepak serta Ketua Wanita Jepak, Noriha Ali, namun laluan ke dua rumah panjang lain tidak dapat diteruskan atas faktor keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyelaras operasi penghantaran bantuan banjir ke rumah panjang yang terjejas di kawasan Ulu Sebauh di sini pada Jumaat.
Menurut Iskandar, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan bagi mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyalurkan baki bakul makanan ke Rumah Peter Suring dan Rumah Anthony Egok menerusi laluan alternatif.
Tambahnya, usaha bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap keselamatan di kawasan terjejas.-EDISI UKAS