Tiga Projek Tebatan Banjir Dilaksana Bagi Atasi Masalah Banjir Di Miri
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri sedang melaksanakan serta merancang tiga projek tebatan banjir utama bagi menangani masalah banjir yang kerap melanda beberapa kawasan di Bandaraya Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dua daripada projek berkenaan telah diluluskan dan dijangka ditenderkan pada tahun ini, manakala satu lagi projek kini sedang dalam pelaksanaan dengan kemajuan fizikal melebihi 70 peratus.
Jelasnya, pelaksanaan ketiga-tiga projek ini dijangka dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah banjir di Miri, namun menegaskan bahawa aspek penyelenggaraan berterusan perlu diberi keutamaan.
“Walaupun projek tebatan banjir siap kelak, penyelenggaraan saliran oleh semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan keberkesanan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mitigasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dan agensi berkepentingan di Bilik Mesyuarat JPS Bahagian Miri, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Lee, projek pertama ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri, Sarawak, yang kini sedang dilaksanakan.
Projek ini bermula pada 19 Oktober 2023, mencatat kemajuan fizikal sebanyak 71.53 peratus dan dijadualkan siap pada Mei 2026, melibatkan pembinaan tembok penahan, stesen pam bergerak serta kerja-kerja tebatan banjir di kawasan Pangkalan Lutong dan Tanah Perkuburan Krokop.
Projek kedua ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Miri Fasa II, yang kelulusan tapaknya telah diperoleh pada 14 November 2025, melibatkan sistem saliran di kawasan Sungai Dalam, Taman Lopeng, Kampung Pujut Tanjung Batu dan Taman Tunku, dan dijangka ditenderkan pada tahun ini.
Sementara itu, projek ketiga ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lutong B, Bahagian Miri, yang kelulusan tapaknya diperoleh pada 28 Disember 2025, merangkumi kawasan Desa Senadin, Kampung Sealine, MCOT serta kawasan Lutong, dan juga dijangka ditenderkan pada tahun ini.
Dalam aspek pascabanjir, beliau turut mengarahkan kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan, khususnya menampal lubang jalan (potholes) demi keselamatan pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal, selain menaikkan aras jalan di beberapa kawasan rendah seperti di Jalan Ilmu.
Mengenai pusat pemindahan sementara (PPS), Dato Sri Lee berkata, tiga PPS telah dibuka di Dewan Pujut Tanjung Batu, Masjid Darul Imam Kampung Tudan Fasa Dua dan Dewan Komuniti Tudan Fasa Empat, melibatkan 37 keluarga dengan 153 mangsa banjir.
Beliau memberi jaminan kebajikan mangsa terpelihara dengan bekalan makanan mencukupi, kemudahan air panas, pelaksanaan kerja pengasapan (fogging) oleh Kementerian Kesihatan serta pengasingan mangsa bergejala mengikut prosedur operasi standard (SOP). -EDISI UKAS