Projek Tebatan Banjir Berskala Besar Miri Dalam Pelaksanaan, Tindakan Segera Diambil Di Kawasan Terjejas
MIRI: Keadaan banjir kilat di kebanyakan kawasan sekitar bandar raya Miri dilaporkan telah pulih sepenuhnya, dengan hanya beberapa lokasi di Desa Senadin masih berdepan takungan air yang semakin beransur surut.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, situasi semasa menunjukkan perkembangan positif hasil pemantauan awal yang dilakukan bersama pasukan pusat khidmatnya pada pagi Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sarawak Miri Division Hopoh Association Officiate Fund Raising Sale on Chinese Calligraphy Spring Couplet & Senior Citizen’s Birthday Celebration yang berlangsung di Wisma Hopoh Miri.
Menurut beliau, kawasan perumahan seperti Desa Indah dan Desa Murni didapati telah pulih sepenuhnya, manakala beberapa laluan di Desa Senadin masih dinaiki air akibat sistem pelepasan yang tidak berfungsi secara optimum.
“Punca utama dikenal pasti adalah aliran keluar air yang terjejas disebabkan paras air sungai dan parit yang tinggi, sekali gus menghalang pelepasan air ke sungai utama,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) akan mengambil langkah segera termasuk kerja pembersihan, pelebaran serta pengorekan saluran air di lokasi kritikal.
Majlis Bandaraya Miri (MBM) pula akan melaksanakan kerja menyahkelodak dan pembersihan parit, khususnya di kawasan Jalan Ilmu, Desa Senadin yang dikenal pasti mengalami saliran tersumbat akibat pertumbuhan tumbuhan liar.
Dato Sri Lee turut menjelaskan bahawa kejadian banjir kilat berulang di kawasan Senadin turut berpunca daripada kolam takungan sedia ada yang telah mencapai kapasiti maksimum, sekali gus mengehadkan keupayaan sistem saliran untuk berfungsi dengan berkesan ketika hujan lebat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan Sarawak telah meluluskan tiga projek tebatan banjir utama di Miri bagi penyelesaian jangka panjang.
Projek pertama melibatkan kawasan Lutong, Krokop dan Jee Foh kini sedang dilaksanakan dengan kemajuan fizikal mencecah 71 peratus.
Dua lagi projek berskala besar melibatkan laluan dari Taman Tunku merangkumi kawasan Riam, Lopeng hingga ke Jalan Padang Kerbau, serta satu projek khusus bagi kawasan Senadin, Sungai Lutong dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, projek tebatan banjir di Senadin telah mendapat kelulusan pada penghujung tahun lalu dan dijangka ditender pada tahun ini, dengan permintaan supaya proses berkenaan dapat dipercepatkan.
Beliau menegaskan, sementara menunggu projek berskala besar disiapkan, tindakan jangka pendek akan terus digerakkan oleh DID, MBM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem saliran sedia ada, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang paling terjejas.
Langkah berperingkat ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir kilat berulang serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan terlibat.-EDISI UKAS