PPMM Jambatan Keprihatinan Komuniti, Pastikan Kebajikan Warga Emas Terpelihara
MIRI: Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM) berperanan sebagai jambatan penting keprihatinan komuniti dalam memastikan kebajikan warga emas dan golongan memerlukan terus terbela serta tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan masyarakat yang sebenar perlu seimbang antara kemajuan fizikal dan nilai kemanusiaan agar tiada kelompok terpinggir.
“Kemajuan tidak hanya diukur melalui pembangunan ekonomi atau infrastruktur, tetapi melalui cara kita menjaga golongan yang lebih lemah serta memastikan semua lapisan masyarakat berasa dihargai dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM) di Home for The Aged, Krokop, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Lee menambah, PPMM merupakan rakan strategik penting dalam melengkapkan usaha kerajaan melalui pelaksanaan program kebajikan yang konsisten dan berterusan di peringkat komuniti.
Katanya, persatuan itu yang bermula dengan hanya lima orang sukarelawan kini berkembang kepada lebih 400 ahli, majoritinya golongan belia, sekali gus membuktikan kekuatan solidariti sosial di Miri.
Menurutnya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan wanita, warga emas serta komuniti Bumiputera mencerminkan kerjasama merentas umur dan kaum yang menjadi identiti serta kebanggaan rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan atas komitmen dan pengorbanan masa serta tenaga dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan, termasuk ketika musim perayaan.
Dato Sri Lee turut menggalakkan lebih ramai belia dan ahli masyarakat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan agar budaya prihatin terus diperkukuh dan diwarisi.
Beliau berkata, perhatian dan penjagaan terhadap warga emas bukan sekadar tanggungjawab sosial, malah satu bentuk penghargaan atas sumbangan generasi terdahulu dalam membina kehidupan stabil yang dinikmati hari ini.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang dan Kaunselor Kelvin Chia Kah Leong yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.-EDISI UKAS