Pembangunan Luar Bandar Lubok Antu Diperkasa Menerusi Projek RTP
LUBOK ANTU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi di kawasan pedalaman, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang seimbang dan inklusif.
Sesi Lawatan Projek di bawah Rural Transformation Programme (RTP) serta Sesi Lihat Urus Bersama Penduduk telah diadakan di Rumah Kudi Galang, Panjai Ruai Ili, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, dalam ucapan perasmian menekankan keperluan memperkukuh inisiatif ekonomi rakyat dan pertanian komersial, di samping peranan aktif Area Development Committee (ADC) dalam merancang serta menyelaras agenda pembangunan setempat.
Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah RTP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Panjai Ruai Ili, RM15,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK Panjai Ruai Ili, serta RM10,000 peruntukan MRP kepada Gerempung Indu Panjai Ruai Ili.
Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan dua laluan Carriage Way (R1–R3) melibatkan jajaran Bukong–Bulo–Lubok Antu, selain menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan sempadan sebagai gerbang antarabangsa (International Gateway).
Dalam sesi lihat urus bersama penduduk, beberapa isu berkaitan tanah dan ekonomi telah dibangkitkan, termasuk status penyertaan kawasan Batu Kaya, Wong Panjai, Rakut, Ensawang dan Panjai Ruai dalam skim Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (SALCRA) yang tidak disambung selepas tamat tempoh. Penduduk memohon agar Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Seksyen 8 dipertimbangkan memandangkan kawasan terbabit telah melalui proses ukur perimeter bagi membolehkan pengusahaan tanah secara individu.
Selain itu, permohonan turut dikemukakan supaya kawasan di belakang rumah panjang dinaik taraf sebagai ruang parkir, di samping cadangan menaik taraf Bilik No.3 untuk dijadikan Rumah Tumpangan bagi kegunaan komuniti.
Penduduk juga mencadangkan agar lawatan sambil belajar ke negara jiran dianjurkan sebagai pendedahan kepada pembangunan dan peluang ekonomi rentas sempadan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita, Catherine Jampang, menyuarakan kekangan kewangan yang dihadapi khususnya berkaitan kekurangan kemudahan dapur serta peralatan asas seperti meja dan kerusi bagi melancarkan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Penghulu Manai Jalak pula menegaskan kepentingan penduduk untuk lebih proaktif meneroka inisiatif ekonomi sendiri, khususnya di kawasan sempadan, dan tidak bergantung sepenuhnya kepada tanaman kelapa sawit.
Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, dalam ucapannya menyeru masyarakat setempat agar tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan, sambil mengingatkan bahawa Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma sehingga ke peringkat ijazah. Beliau turut menyentuh beberapa isu sosial termasuk tempoh sah sijil JKKK serta memaklumkan mengenai insentif tadbir urus JKKK berjumlah RM5,000 kepada jawatankuasa yang layak.
Program yang dihadiri kira-kira 300 penduduk itu jelas mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat. - EDISI UKAS