SIMUNJAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan telah ditutup pada jam 9 pagi Ahad selepas keadaan kembali selamat.
Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Simunjan, Sanuyah Mohamad berkata, kesemua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air banjir yang telah surut sepenuhnya.
Menurutnya, hasil pemantauan bersama agensi-agensi penyelamat mendapati situasi semasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat daripada ancaman banjir.
Sehubungan itu, pihak jawatankuasa bersetuju untuk membenarkan semua mangsa pulang.
PPS tersebut mula beroperasi pada 9 Januari lalu susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.
Namun, dengan keadaan cuaca yang semakin baik serta paras air yang beransur surut, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk menutup pusat pemindahan berkenaan.
Untuk rekod, seramai 90 mangsa banjir daripada 32 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan enam lokasi terjejas telah ditempatkan di PPS Dewan Mesra Simunjan sepanjang tempoh operasi. -EDISI UKAS