'LANDAS Give Back-Love In The Box' Lakar Senyuman Di Wajah Pejuang Cilik SCCS
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menyantuni anak-anak pesakit kanser di Pusat Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) Kuching.
Program bertemakan kasih sayang dan kebersamaan ini diadakan bertujuan untuk meraikan semangat juang “pejuang cilik” di pusat tersebut, di samping menyampaikan sumbangan hasil daripada kempen dalaman JTS, 'Landas Gives Back - Love In A Box', sempena tahun 2026.
Pengarah JTS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, kehadiran warga kerja JTS adalah manifestasi keprihatinan seluruh warga kerja jabatan yang mahu berkongsi kegembiraan dan semangat kekeluargaan bersama anak-anak serta ibu bapa di SCCS.
“Melalui program 'Love In A Box', warga kerja JTS telah bersatu hati mengumpul, menyumbang, dan membalut sendiri hadiah-hadiah seperti mainan, set keperluan sekolah, alat tulis, dan pelitup muka.
"Ini adalah sumbangan ikhlas kami untuk mengukir senyuman dan memberi semangat baharu kepada anak-anak ini bagi memulakan tahun 2026,” ujar beliau ketika berucap semasa majlis tersebut pada Sabtu.
Datu Awang Zamhari turut menyentuh aspek emosi dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga pesakit di mana beliau menzahirkan rasa kagum terhadap kekuatan ibu bapa dan penjaga dalam menghadapi ujian berat ketika menjaga anak-anak yang menghidap kanser di SCCS.
Beliau turut memuji peranan SCCS dalam menyediakan kemudahan rumah transit dan sokongan tadbir urus yang cekap bagi membantu keluarga pesakit, terutamanya mereka yang datang dari luar bandar.
“Pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga di sini menyuntik semangat kepada pihak kami untuk boleh terus menyumbang, terutamanya dari segi sokongan moral.
"Kami mendoakan agar ibu bapa terus diberi kekuatan dan anak-anak ini dikurniakan kesihatan yang baik,” tambah beliau.
Untuk rekod, kempen “Love In A Box” ini telah mula digerakkan sejak November 2025 oleh Unit Perhubungan Awam (PRU) JTS dan mendapat sambutan luar biasa daripada seluruh warga kerja JTS Ibu Pejabat.
Hasil keprihatinan kakitangan, pelbagai barangan keperluan harian dan persekolahan berjaya dikumpul untuk disumbangkan khas kepada penghuni SCCS.-EDISI UKAS