Jualan Rahmah Bergerak Ringankan Beban Kos Sara Hidup Rakyat
MERADONG: Program Jualan Rahmah Bergerak dilihat membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pelaksanaan Jualan Rahmah Bergerak bertujuan menyediakan pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah dan berpatutan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
"Saya menghargai pihak KPDN Sarawak atas penganjuran program berimpak tinggi tersebut yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Meradong, terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut pada Sabtu.
Justeru katanya, usaha seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup dengan lebih baik.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut menegaskan komitmen beliau untuk terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi membawa lebih banyak program berbentuk bantuan dan intervensi harga ke kawasan Meradong.
Jelasnya, usaha berterusan ini penting dalam memastikan penduduk setempat tidak tercicir daripada agenda kesejahteraan rakyat yang sedang digerakkan oleh kerajaan.-EDISI UKAS