BAU: Keadaan banjir di kawasan Krokong ketika ini dilaporkan terkawal dengan paras air menunjukkan trend penurunan, namun orang ramai diminta terus berwaspada berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di beberapa kawasan lain sekitar Kuching.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS Kampung Bijuray Mongag dan PPS Kampung Blimbin, di sini, semalam.
Menurut beliau, setakat semalam, seramai 172 mangsa banjir ditempatkan di kedua-dua PPS berkenaan tanpa sebarang pertambahan baharu direkodkan, manakala keadaan cuaca di Krokong semakin baik.
“Walaupun paras air menunjukkan penurunan dan keadaan di Krokong terkawal, beberapa kawasan lain masih berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan awal bagi menghadapi perubahan cuaca secara mendadak, termasuk risiko kenaikan paras air dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terlibat yang telah menubuhkan pasukan bencana masing-masing.
Ini bagi membantu pengurusan awal mangsa, termasuk penyediaan makanan dan keperluan asas sementara menunggu bantuan lanjut daripada pihak berkuasa.
Lawatan tersebut turut disertai Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A. Rahman serta Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Daerah Bau Nurul Hikmah Abusamah. - EDISI UKAS