CERT Dan JKKK Diperkasa, Komuniti Digesa Lebih Bersedia Hadapi Banjir
SERIAN:, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semalam mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bahagian Serian bagi meninjau keadaan mangsa banjir serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.
Antara PPS yang dilawati ialah PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru, Siburan; PPS SJK Chung Hua Batu 29, Siburan; serta PPS Dewan Masyarakat Ranchan, Serian.
Di PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru, seramai 29 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 116 orang mangsa telah ditempatkan. Sementara itu, PPS SJK Chung Hua Batu 29 menempatkan 18 KIR dengan jumlah keseluruhan 65 orang mangsa, yang kesemuanya melibatkan penduduk Kampung Lintang Baru.
Manakala di PPS Dewan Masyarakat Ranchan pula, seramai 26 KIR dengan keseluruhan 59 orang mangsa telah dipindahkan melibatkan penduduk dari Kampung Slabi Empurung, Kampung Slabi Plaman dan Kampung Ranchan.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah, pemindahan mangsa banjir dilaksanakan secara fleksibel berdasarkan situasi semasa di lapangan, khususnya apabila terdapat PPS di kawasan tertentu yang turut dinaiki air sehingga memerlukan mangsa dipindahkan ke PPS lain yang lebih selamat.
“Keputusan dibuat mengikut keadaan semasa. Kita tidak boleh menetapkan sesuatu kampung mesti berpindah ke PPS tertentu. Yang penting, semua pihak sentiasa bersedia dan berjaga 24 jam,” katanya.
Beliau turut memuji tindakan pantas pasukan SDMC bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian yang bertindak awal memindahkan penduduk seawal pagi sebelum keadaan banjir bertambah buruk.
“Saya telah menghubungi Residen seawal jam 5 pagi dan dimaklumkan bahawa pemindahan telah dilakukan seawal jam 3 pagi. Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan pasukan SDMC yang sentiasa responsif terhadap maklumat serta aduan orang awam,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat tanda-tanda awal kenaikan paras air di kawasan kampung masing-masing.
“Jangan tunggu sehingga air naik ke bumbung rumah. Pada ketika itu, keadaan sudah terlalu berbahaya,” tegasnya.
Datuk Amar Douglas Uggah turut menyentuh peranan Community Emergency Response Team (CERT) yang telah ditubuhkan di beberapa kawasan, termasuk di Krokong, Bau, bagi melatih komuniti setempat supaya lebih bersedia dan berkeupayaan bertindak pantas dalam situasi kecemasan seperti banjir.
“Apabila penduduk berpindah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menyediakan makanan sementara kerana mereka memahami kemungkinan bekalan di PPS belum tersedia sepenuhnya. Ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan komuniti yang baik,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut amat penting terutamanya bagi kawasan pedalaman yang berdepan kekangan perhubungan, di mana bantuan agensi kerajaan mungkin mengambil masa untuk tiba.
Mengulas mengenai bantuan wang ehsan, beliau menjelaskan bahawa dasar kerajaan negeri menggalakkan semua penduduk terlibat untuk berpindah ke PPS demi keselamatan serta melayakkan mereka menerima bantuan berkenaan.
“Sekiranya mereka tidak berpindah, mereka tidak layak menerima bantuan wang ehsan. Namun, jika rumah dinaiki air atau berisiko, mereka mesti berpindah demi keselamatan,” ujarnya.
Lawatan berkenaan turut bertujuan memastikan keperluan asas seperti bekalan makanan, kemudahan dan pengurusan PPS berada pada tahap memuaskan agar mangsa banjir dapat berada dalam keadaan lebih selesa walaupun berdepan situasi mencabar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap ADUN Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari, Pegawai Daerah Serian Enting Nyami, Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian, serta wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Serian. - EDISI UKAS