Datuk Rubiah Tinjau PPS Kota Samarahan, Kebajikan Mangsa Banjir Jadi Keutamaan
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, hari ini meneruskan siri lawatan kerja ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Samarahan dan Bahagian Serian bagi meninjau keadaan semasa serta memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa terpelihara.
Lawatan beliau dimulakan di PPS Dewan Suarah Kota Samarahan yang sebelum ini menempatkan seramai 13 mangsa melibatkan tiga keluarga dari Kampung Plaie susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Keadaan banjir di kawasan tersebut dilaporkan semakin pulih dan PPS berkenaan telah ditutup sepenuhnya pada jam 1 tengah hari selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing untuk menjalankan kerja pembersihan.
Beliau seterusnya meninjau PPS Dewan Lenggai Kampung Entingan yang menempatkan 15 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 52 orang mangsa, serta PPS Balairaya Kampung Nangka yang menempatkan 12 KIR melibatkan 44 orang mangsa.
Kedua-dua PPS berkenaan dibuka pada 9 Januari lalu dan ditutup sepenuhnya pada jam 1 tengah hari hari ini selepas keadaan banjir beransur pulih dan selamat untuk penduduk pulang.
Dalam setiap lawatan, Datuk Rubiah berkesempatan berinteraksi secara langsung dengan para mangsa bagi mendapatkan maklum balas berkaitan keperluan harian, keselamatan serta kemudahan yang disediakan di PPS.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan mangsa banjir sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan semua agensi berkaitan perlu memastikan bantuan disalurkan secara berterusan bagi meringankan beban penduduk terjejas.
Siri lawatan beliau diteruskan ke Bahagian Serian dengan meninjau PPS Dewan Sri Tok Nan Kampung Seniawan Jepon yang menempatkan seramai 64 mangsa daripada 20 KIR, serta PPS Dewan Kampung Rimba Padi, Serian yang menempatkan 42 KIR melibatkan 142 orang mangsa, menjadikannya antara PPS dengan jumlah mangsa tertinggi di kawasan terjejas.
Menurut Datuk Rubiah, keadaan banjir di beberapa kawasan dilaporkan semakin terkawal berikutan cuaca yang semakin baik dan paras air yang beransur surut, dan PPS Dewan Sri Tok Nan dijangka ditutup sekiranya keadaan terus stabil.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, khususnya dengan laporan kelibat buaya di beberapa lokasi banjir, demi keselamatan diri dan keluarga.
Lawatan di Serian turut disertai oleh Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap serta Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Serian, Enting @ Inting Nyami.
Beliau menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selain berharap semua mangsa banjir diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan sepanjang tempoh pemulihan pascabencana. -EDISI UKAS