Gunting Rambut Percuma, Kelengkapan Sekolah Tingkatkan Minat Kanak-Kanak Kembali Ke Sekolah
KUCHING: Program Back To School dan Jelajah Yayasan Kepimpinan Al-Baik Barber anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melabuhkan tirainya pada Ahad selepas menjelajah dan memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Sarawak.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, program yang bermula di Lawas, Limbang, Miri dan Mukah itu menutup siri jelajahnya di Kuching dengan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan minat kanak-kanak untuk kembali ke sekolah.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Hari ini sahaja, lebih 120 orang pelajar di Kuching telah menerima manfaat perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui media pada program yang berlangsung di Centre Court, Majma Mall, Kompleks Islam Sarawak.
Beliau berkata, program berkenaan turut menyediakan barangan keperluan persekolahan seperti botol minuman dan kelengkapan lain bagi membantu persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu, selain menggalakkan amalan mudah seperti berjimat dengan membawa keperluan dari rumah.
Menurutnya, keunikan program ini adalah kerjasama dengan Yayasan Kepimpinan Al-Baik yang membolehkan tukang gunting rambut terlatih menyumbangkan kemahiran mereka melalui perkhidmatan gunting rambut percuma sebagai satu usaha pemerkasaan berasaskan komuniti.
“Bagi program Back To School ini sahaja, seramai 33 orang tukang gunting rambut terlatih terlibat dalam penyediaan perkhidmatan percuma tersebut,” katanya sambil menambah bahawa inisiatif ini turut membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Beliau berkata, perkhidmatan gunting rambut percuma amat bermakna kerana kosnya boleh menjadi cabaran kepada sesetengah keluarga, khususnya di kawasan bandar.
“Pada tahun 2025, Tabung Baitulmal Sarawak berjaya mengumpul sebanyak RM211 juta, dengan lebih RM150 juta telah diagihkan kepada golongan memerlukan melalui pelbagai program bantuan,” katanya.
Bagi inisiatif Back To School pula, seramai 2,126 orang kanak-kanak di seluruh negeri telah menerima manfaat dengan jumlah bantuan hampir RM200,000, tidak termasuk nilai perkhidmatan percuma yang disediakan.