PPS SK Endap Ditutup Sepenuhnya Selepas Situasi Banjir Reda
KOTA SAMARAHAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Endap ditutup sepenuhnya pada Ahad, 11 Januari 2026, jam 1 tengah hari setelah situasi banjir di kawasan terlibat dilaporkan pulih dan berada dalam keadaan terkawal.
Penutupan PPS berkenaan diisytiharkan oleh Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, hasil penilaian terkini yang mendapati paras air telah surut sepenuhnya serta keadaan persekitaran kembali selamat untuk didiami.
Sepanjang tempoh operasi PPS, seramai 129 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 418 orang mangsa banjir telah ditempatkan di pusat pemindahan tersebut dan menerima bantuan keperluan asas serta sokongan kebajikan yang diselaraskan oleh agensi-agensi terlibat.
Jawatankuasa Bencana Daerah Samarahan merakamkan penghargaan kepada semua agensi keselamatan, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus memastikan kebajikan serta keselamatan mangsa banjir sepanjang tempoh bencana.
Dalam pada itu, penduduk dinasihatkan agar terus berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca, di samping sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko kejadian tidak diingini.
Penutupan PPS SK Endap ini menandakan berakhirnya operasi pemindahan banjir di kawasan berkenaan setelah keadaan kembali stabil dan selamat. -EDISI UKAS