Agensi Berkaitan Diarah Ambil Tindakan Segera Tangani Kesan Tanah Runtuh di Tebedu
TEBEDU: Kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat berterusan sejak malam 8 Januari lalu telah menyebabkan kerosakan jalan dan gangguan bekalan air di Kampung Krusen Kranji dan Kampung Krusen Siu, sekali gus menjejaskan penduduk setempat.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada telah mengarahkan agensi berkaitan menangani kejadian tersebut.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Serian serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian diarahkan mengambil tindakan segera bagi membaiki tebing jalan yang runtuh serta memulihkan sistem bekalan air penduduk terjejas,” katanya semasa turun padang meninjau lokasi kejadian pada Ahad.
Dalam pada itu, Dr. Simon turut menasihatkan penduduk Kampung Krusen Siu agar tidak menggunakan jambatan gantung yang rosak teruk kerana ia tidak lagi selamat dan boleh membahayakan keselamatan pengguna.
Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan kini sedang mengambil langkah susulan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran semula perhubungan dan kemudahan asas di kawasan terjejas.
Menurut laporan, jalan utama di kedua-dua kampung berkenaan mengalami runtuhan akibat kejadian tersebut, manakala sebuah jambatan gantung rosak teruk dipercayai akibat pergerakan tanah serta arus deras Sungai Kayan.
Akibat kerosakan jalan, laluan terjejas terpaksa ditutup sementara dan hanya boleh diakses menggunakan motosikal atau berjalan kaki sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
Sementara itu, penduduk Kampung Krusen Kranji turut berdepan gangguan bekalan air bersih apabila paip utama yang melalui kawasan runtuhan mengalami kerosakan dan terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.-EDISI UKAS