Tekankan Pembangunan Akar Umbi, Kepimpinan Tempatan Digesa Lebih Proaktif
SIMUNJAN: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, menggesa kepimpinan peringkat akar umbi termasuk Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya lebih proaktif serta cakna terhadap keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, adalah memastikan pelaksanaan projek mesra rakyat berskala kecil yang memberi impak langsung kepada kehidupan harian penduduk.
“Kami lebih menumpukan kepada projek akar umbi atau projek mesra rakyat, iaitu projek kecil yang lebih dekat dengan keperluan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 3 Sungai Apin di perkarangan Surau Darul Iman, Kampung Pantong Melayu, pada Ahad.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah disalurkan di Kampung Pantong Melayu termasuk penaiktarafan kemudahan surau melalui penyediaan penghawa dingin serta pembinaan stor.
Selain itu, beliau turut mengetengahkan pelaksanaan Projek Sejati MADANI yang memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung untuk manfaat komuniti, termasuk pembelian kelengkapan seperti kanopi.
Menyentuh aspek pembangunan belia, beliau menyuarakan hasrat untuk melihat lebih banyak aktiviti dirancang bagi menarik penglibatan golongan muda di Zon 3.
Sehubungan itu, beliau mencabar kepimpinan ranting serta pemuda untuk menyediakan kertas kerja program, khususnya melibatkan aktiviti sukan, bagi membolehkan sokongan dana disalurkan.
Dalam suasana sambutan Aidilfitri yang penuh kemeriahan, kedua-dua wakil rakyat tersebut turut meluangkan masa menyantuni penduduk dengan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak serta golongan yang hadir, sekali gus menambah seri majlis dan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Sebagai simbolik perasmian, Rodiyah turut melakukan gimik memotong riben bagi penyerahan siap projek Bina Baru Pagar Surau Darul Iman, Kampung Pantong Melayu yang menelan kos sebanyak RM80,000, serta projek Naik Taraf Surau Kampung Pantong Melayu, Simunjan (Penambahan Stor) bernilai RM50,000.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri oleh ADUN Simunjan, Awla Dris bersama isteri, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, serta barisan pemimpin masyarakat tempatan.-EDISI UKAS